Dua Acara Rasmi Sempena Ulangtahun Agong Dibatalkan Dan Ini Yang Akan Agong Lakukan

Istana negara membatalkan dua acara rasmi bersempena sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang dijadual pada 9 Sept depan iaitu istiadat hari keputeraan rasmi dan jamuan teh diraja.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan malam ini.

Menurutnya, Sultan Muhammad V juga menitahkan agar peruntukan perbelanjaan untuk kedua-dua acara berkenaan dikembalikan semula kepada kerajaan untuk disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia.

“Manakala acara-acara rasmi sempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi baginda yang lain tetap diteruskan seperti mana yang telah dirancang.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV Sultan Muhammad V menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri yang telah merancang acara-acara rasmi sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi baginda bagi tahun 2018,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Tun Dr Maahthir Mohamad dilaporkan berkata kutipan Tabung Harapan akan dihentikan bulan depan.

Tabung berkenaan dilancarkan pada 30 Mei bagi membolehkan rakyat Malaysia membantu kerajaan menyelesaikan hutang negara.

Sehingga kini tabung berkenaan berjaya mengumpulkan sebanyak RM179.9 juta setakat jam 3 petang hari ini.

Sebelum ini,

Tiada anugerah darjah kebesaran di keputeraan Agong tahun ini

Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V tidak akan mengurniakan darjah kebesaran sempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi baginda pada 9 September ini.

Seorang pegawai di pejabat perdana menteri mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

“(Sambutan) hanya ada titah daripada Agong dan ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata seorang lagi sumber yang enggan dinamakan.

Malaysiakini difahamkan ini kali pertama Agong tidak akan mengurniakan darjah kebesaran pada hari keputeraannya.

Difahamkan senarai penerima tahun ini yang telah disediakan pentadbiran lalu akan disemak semula.

Perkara itu turut disebut bekas menteri Tan Sri Rais Yatim di twitter semalam.

“Syabas jika benar. Jangan hendaknya amalan was-was ufti terdahulu diteruskan termasuk di peringkat negeri,” ciapnya.

Sultan Muhammad V menganugerahkan 1,518 darjah kebesaran ketika hari keputeraannya tahun lalu.

Sejumlah 48 individu dianugerahkan gelaran Tan Sri sementara tiga, iaitu bekas Presiden MIC Samy Vellu, bekas Timbalan Presiden MCA Michael Chen dan bekas Ketua Hakim Negara Md Raus Shariff mendapat gelaran tertinggi iaitu Tun.

Sumber Mskini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *