Ibu Sanggup Menyerahkan Anaknya Kepada Pihak Polis Disebabkan Ini

“SAYA nekad dan tidak kesal sama sekali serah anak (suspek) kepada polis kerana apa yang dilakukannya adalah salah,” kata ibu kepada suspek yang terbabit dalam kes samun pelanggan kedai dobi dan dua kedai runcit 24 jam di Sungai Petani, kelmarin.

Wanita berusia 42 tahun itu yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila mengetahui kejadian itu selepas dihubungi seorang lagi anak di Kuala Lumpur dan memintanya melihat laman sosial Facebook (FB) selepas melihat gambar abangnya tular di media sosial.

Menurutnya, dia membuka FB dan tergamam sebelum terus mengambil cuti dan pulang dari Kuala Lumpur ke Taiping dengan bas pada 2 petang semalam dan tiba 12 tengah malam tadi.

“Saya diberitahu anak berada di rumah rakan adiknya di Taiping dan terus ke sana sebelum memujuk dan menasihatnya supaya menyerah diri kepada polis sehingga akhirnya dia bersetuju.

“Apa yang dilakukan anak saya itu salah dan biarlah undang-undang hukum, saya dah pasrah…namun biarpun kecewa dengan tindakannya itu saya tetap mahu dia kembali menjadi manusia berguna,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di Sungai Petani, hari ini.

Wanita terbabit berkata, dia tidak merasa kesal atau malu apabila membuat keputusan membawa anaknya dari Taiping ke IPD Kuala Muda bagi menyerahkan anaknya itu.

“Saya berasa sedih kerana minggu lalu dia ada menelefon meminta wang, namun ketika itu saya belum menerima gaji lagi dan tidak dapat membantunya.

“Biarlah ia menjadi satu pengajaran dan berharap dia insaf dengan apa yang dilakukanya selepas ini,” katanya.

NSTP hari ini melaporkan seorang daripada dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun kedai dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria, kelmarin ditahan polis selepas menyerah diri di IPD Kuala Muda, hari ini.

Kedua-dua penyamun berkenaan menjadi ‘popular’ di media sosial apabila tindakan mereka menyamun dua premis terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV), selain ada netizen mengemukakan pelbagai komen di Facebook seorang daripadanya.

VIDEO :

‘Haa…tau pun takut!’

SEORANG daripada dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun kedai dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria, Sungai Petani, kelmarin ditahan polis selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.

Kedua-dua penyamun berkenaan menjadi ‘popular’ di media sosial apabila tindakan mereka menyamun dua premis terbabit dirakam kamera litar tertutup (CCTV), selain ada netizen mengemukakan pelbagai komen di Facebook seorang daripadanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 21 tahun dari Nibong Tebal yang dipercayai memegang parang dalam kejadian itu ditahan pada 1.30 tengah hari.

“Suspek ditahan selepas ibu suspek membawanya ke IPD Kuala Muda untuk tindakan susulan pihak polis dan berdasarkan siasatan awal, suspek mengaku terbabit dalam kejadian samun berkenaan.

“Kami turut menahan isteri suspek berusia 30-an untuk membantu siasatan kerana isteri suspek berada sekali dalam kereta ketika suspek menyamun mangsa dan kedua-duanya akan direman bermula esok.

“Kami turut menggiatkan usaha untuk memburu seorang lagi suspek dipercayai rakan mangsa berusia 20-an dipercayai terbabit dalam kejadian samun berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Katanya, terdapat tiga premis disamun suspek kerana terdapat satu lagi kedai runcit 24 jam di kawasan sama menjadi sasaran kedua-dua suspek selepas dua kejadian samun sebelum itu.

“Kejadian samun ketiga itu berlaku antara tempoh satu hingga satu setengah jam selepas kedua-dua kejadian samun sebelum itu dan suspek dipercayai turut melarikan sejumlah wang tunai dari kedai berkenaan.

“Laporan polis sudah dibuat dan tiada mangsa tercedera dalam kejadian berkenaan, malah ujian air kencing mendapati suami isteri terbabit positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan senjata.

NSTP semalam melaporkan, dua lelaki bersenjatakan parang menyamun kedai dobi dan kedai runcit 24 jam dalam tempoh 15 minit di Bandar Puteri Jaya dan Taman Ria, Sungai Petani menyebabkan kerugian RM14,500.

Dalam kejadian pertama pada 7 pagi, kedua-dua lelaki berkenaan menyamun pensyarah wanita berusia 37 tahun ketika membasuh pakaian bersendirian di kedai dobi 24 jam sebelum menyamun dua lagi kedai runcit 24 jam di Taman Ria.

Terdahulu, Mior Faridalathrash bersama Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Datuk Mat Kasim Karim menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua JSPT Kedah yang baru antara Superintendan Zahari Mohamed dengan Deputi Superintendan Chuah Seong Lim.

Zahari, 57 yang memegang jawatan itu sejak 2016 akan bertugas sebagai Penolong Pengarah (Kesejahteraan/Organisasi) Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dan tempatnya itu kini digantikan Chuah, 55, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

SUMBER : Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *