Ini Sebab Kenapa Barisan Nasional Beri Laluan Untuk PAS Bertanding Di Seri Setia

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) akan memberi laluan kepada PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, laluan ini adalah satu titik permulaan dan persefahaman antara kedua-dua parti sebagai suatu gerakan politik baharu, dalam Malaysia baharu.

“Laluan itu sebagai timbal balik yang sudah diberikan PAS dalam PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

“Kita akan bersungguh-sungguh dalam membantu PAS di sana, saya sendiri akan turun membantu calon PAS yang dipertaruhkan.

“Kita harap PAS dapat memilih calon ikon untuk kita bawa suara rakyat Seri Setia ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya dalam sidang media di Pejabat UMNO Kota Raja, hari ini.

Kerusi DUN Seri Setia kosong apabila wakil rakyatnya, Profesor Dr Shaharuddin Baharuddin meninggal dunia lewat petang semalam selepas menderita barah usus.

Ini PRK ketiga di Selangor selepas Sungai Kandis dan Balakong yang akan diadakan masing-masing esok dan 8 September nanti.

Beliau berkata, UMNO dan BN, secara tidak rasmi sudah berbincang dan mendapat persetujuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi mengenainya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata beliau berharap persefahaman antara dua parti besar Melayu di negara ini iaitu UMNO dan PAS dapat diperkasakan pada masa akan datang.

“Saya minta dua parti besar Melayu untuk mesti kena ada persefahaman. Ini titik permulaan persefahaman antara PAS dan UMNO. Insya-Allah kita akan berkembang dan tersebar luas.

“Kita harap rakyat dapat membaca titik persefahaman ini untuk jadi politik baharu dalam Malaysia baharu yang ada sekarang. Kita harap persefahaman ini akan diperkasakan lagi.

“Masih berbaki setengah hari lagi ini, saya minta pengundi yang memberi kepercayaan kepada PAS dalam pilihan raya lalu, dengan undian lebih 7,000 untuk beri kepercayaan kepada kita (BN) di Sungai Kandis. Kita akan memulangkan undi di Seri Setia nanti, Insya-Allah,” katanya.

Mohamad berkata, beliau serta rakan-rakan dalam BN turut mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Shaharuddin.

“Tabah dan sabar keluarga arwah. Ini semua kehendak Allah dan kita amat simpati dengan pemergiannya, seorang tokoh dalam bidang akademik,” katanya.

Ketika ditanya berkenaan kekosongan kerusi Balakong, Mohamad berkata, kemungkinan ia akan diserahkan kepada calon MCA.

“Balakong kita akan tengok macam mana tapi rasanya tempat itu kita akan beri kepada MCA,” katanya.

SUMBER : BHARIAN ONLINE

BN akan pastikan PAS menang di DUN Seri Setia

UMNO Selangor akan menggerakkan jentera parti di semua 22 bahagian di negeri itu untuk membantu PAS merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini susulan pengumuman Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa Barisan Nasional (BN) akan memberi laluan kepada PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, berkata PAS ikhlas memberi kerjasama kepada BN untuk merampas kerusi DUN Sungai Kandis dan kini giliran UMNO pula membantu PAS memenangi DUN Seri Setia.

“Walaupun belum dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, hakikatnya kita akan memberikan laluan kepada PAS bertanding di DUN Seri Setia.

“Kita akan bekerja bersungguh-sungguh membantu kemenangan PAS,” katanya kepada media di perkarangan Masjid an-Naim, Jalan Kebun, di sini.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus; Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir dan Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan .

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas wakil rakyatnya, Profesor Dr Shaharuddin Baharuddin meninggal dunia lewat petang semalam selepas menderita barah usus.

Ismail Sabri berkata, beliau akan membincangkan pengumuman Mohamad bersama semua 22 ketua UMNO Selangor pada mesyuarat UMNO Selangor dalam tempoh terdekat.

“Sekali lagi saya ulangi perjuangan BN dan PAS adalah sama, iaitu untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH). Asal bukan Pakatan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kerjasama PAS dan UMNO kini menemui titik pertemuan kedua dan selepas ini akan terus bekerjasama khususnya untuk kepentingan ummah.

“Di Dewan Rakyat pun kita sudah bekerjasama memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam serta menegur keputusan PH yang gagal membela rakyat, ” katanya.

SUMBER : BHARIAN ONLINE , Via Buletin Netizen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *