Kucing Teman Abah Dengan Isteri Duduk Atas Pelamin

BIBIT percintaan Afiq Shazwan On, 25, dan isteri Dalila Amli, 28, dianggap terlalu istimewa serta unik apabila mereka bertemu jodoh disebabkan kucing kesayangan masing-masing.

Afiq Shazwan tidak menyangka pertemuan dengan Dalila, pada pameran kucing antarabangsa di Setia City Convention Centre, Shah Alam, Selangor, pada April 2016 lalu membawa bibit cinta sehingga ke jinjang pelamin.

“Ketika itu isteri mahu tengok kucing saya iaitu Fluffy. Kebetulan isteri turut membawa kucingnya iaitu Baby.

“Isteri amat tertarik dengan Fluffy manakala saya pula menyukai Baby. Sejak itu, kami kerap bertukar-tukar gambar kucing dan berkongsi perkembangan haiwan peliharaan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, persahabatan mereka bertambah erat selepas Dalila berpindah ke ibu kota pada September tahun sama kerana mendapat kerja di tempat baru.

Dia memberitahu, secara kebetulan Dalila, tinggal berhampiran kediamannya di Ampang, menyebabkan mereka semakin kerap berjumpa.

“Kami juga kerap bertukar-tukar kucing. Saya jaga Baby dan isteri bawa Fluffy pulang ke rumahnya.

“Berkongsi minat sama, membuatkan kami semakin akrab, jika ada aktiviti berkaitan kucing walau di mana sekali pun lokasinya saya bawa Dalila.

“Malah, kami juga kerap menghabiskan masa bersama untuk memberi makan serta memelihara kucing jalanan,” katanya yang kini menjaga tujuh kucing bersama isterinya.

Katanya, berasa serasi disamping Dalila, dia mengambil keputusan meneruskan hubungan itu ke peringkat lebih serius dan mengikat tali pertunangan pada Februari 2017.

“Pada 22 Jun lalu kami diijabkabulkan. Sebenarnya saya memang tak pernah terfikir beristerikan wanita yang suka kucing. Tetapi saya bersyukur mungkin tertulis rezeki dan jodoh kami ditetapkan dengan cara ini.

“Alhamdulillah, impian saya membawa Fluffy naik pelamin tahun ini tercapai juga,” katanya.

Pencinta kucing itu berkata, kebanyakan orang menganggap kucing sebagai haiwan peliharaan dan tidak selesa berkongsi tempat tidur dengan haiwan itu.

Namun, baginya dia tidak kisah tinggal di dalam rumah dikelilingi kucing dan melayan haiwan itu seperti darah daging sendiri.

“Kucing bukan sekadar haiwan, tetapi macam anak dan pembawa rezeki.

“Kucing sangat bermakna kepada kami, rasa penat seharian bekerja hilang dan tenang apabila melihat ‘anak’ kami di rumah.

“Malah, saya tak kisah apa bila orang kecam kami sanggup makan bersila di lantai dan tidur sekatil bersama haiwan itu. Nabi Muhammad SAW pernah kata kucing haiwan pembersih,” katanya.

Kisah Afiq Shazwan bersama Fluffy pernah popular pada 2015 selepas video lelaki itu membawa kucing kesayangannya itu bersiar-siar menggunakan motosikal tular di media sosial – HARIAN METRO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *