Mat Sabu Dedahkan Sesuatu Tentang PAS Bila Dalam Pilihanraya Sungai Kandis

SHAH ALAM: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu berkata, kerjasama UMNO dan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, gagal.

Video Penuh Berada Di Bawah Artikel

Beliau berkata, kerjasama itu tidak mencapai matlamat yang disasarkan walaupun pemimpin UMNO dan PAS secara terbuka mengisytiharkan kerjasama masing-masing.

Katanya, nyata ahli PAS tidak dapat menerima kerjasama dan menolak pelawaan UMNO itu.

“Saya tidak dapat buat penilaian menyeluruh lagi tapi bagi saya dulu (ketika bersama PAS), kami dalam PAS memang diajar untuk susah memangkah dacing (Barisan Nasional).

“Itu yang ditanamkan kepada kami (ahli PAS dulu) dengan mendalamnya. Saya rasa susah bagi mereka (ahli PAS) untuk lakukan perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di pusat penjumlahan rasmi undi PRK DUN Sungai Kandis, di Dewan Besar Tanjung MBSA, di sini. Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, PRK kali ini juga membuktikan dakwaan Pakatan Harapan (PH) selama ini bahawa UMNO dan PAS sedang bekerjasama adalah benar.

UMNO juga sebelum ini mengesahkan memberi laluan pula kepada PAS pada PRK DUN Seri Setia.

“Jadi, saya ucapkan selamat bekerjasamalah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Berdasarkan peratusan rendah yang keluar mengundi, ahli PAS dipercayai mengambil sikap berkecuali, malah sebahagiannya mengundi PKR walaupun pimpinan parti itu mengarahkan mereka memenangkan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.

Mengulas jumlah peratusan mengundi turun mendadak, Mohamad berkata faktor itu didorong oleh Pilihan Raya Umum (PRU) yang baru saja selesai, dengan tempohnya terlalu hampir dengan PRK.

“Ini pernah berlaku (peratusan rendah) di PRK DUN Penanti dulu, juga tidak sampai 50 peratus. Biasalah apabila selepas PRU, memang keadaannya begini,” katanya.

SUMBER : BHARIAN ONLINE

SUMBER : Malaysia Gazette, via buletinnetizen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *