Mufti: Jangan ekstrem bahas isu2 sebat lesbian

Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin menasihatkan orang ramai tidak ekstrem ketika membahaskan isu sebatan syarie terhadap pasangan lesbian di Terengganu, kelmarin.

Beliau antaranya menegur pengkritik yang sentiasa tidak bersetuju dengan sesuatu yang dikaitkan dengan syariah.

Bagaimanapun, katanya, pembela hukuman itu juga tidak boleh menyifatkan pengkritik sebagai “anti-Islam” kerana hukuman itu cuma takzir, bukan hudud.

“Takzir ini keputusan yang dibuat oleh hakim, keputusan yang dibuat manusia, bukan ada nas daripada nabi SAW,” katanya menjawab soalan dalam rakaman video di media sosialnya.

DrMAZA.com Apakah pandangan Dr tentang hukuman sebat dua wanita di Trengganu?

Posted by Suara Sunnah on Tuesday, September 4, 2018

Kelmarin, pasangan lesbian 32 dan 22 tahun disebat enam kali dalam dewan di mahkamah syariah di Terengganu setelah disabitkan bersalah cuba melakukan hubungan seks sejenis di dalam kereta.

Sebatan itu dikatakan yang pertama seumpamanya berlaku di negara ini.

Taubat, jangan dedah aib

Sementara itu, Asri juga menegur kefahaman sesetengah pihak yang beranggapan hukuman hendaklah dilakukan di hadapan orang ramai atau di mahkamah syariah bagi membolehkan ia diampunkan Allah.

Membacakan hadis, Asri berkata Islam menekankan pendekatan taubat dan seboleh-bolehnya tidak mendedahkan aib orang lain.

Beliau bagaimanapun berkata menghormati keputusan di Terengganu kerana ia dibuat melalui proses undang-undang dan atas kerelaan pasangan lesbian itu sendiri.

Asri juga berkata, hukuman sebatan syarie juga tidak boleh dibandingkan dengan sebatan sivil yang mencederakan kerana kesalahan berbeza, walaupun masing-masing dikira takzir.

Katanya, sebatan untuk sivil melibatkan kes-kes berat seperti rogol.

“Takkan rogol sebat tek tek tek tek,” katanya sambil menunjukkan isyarat sebat perlahan dengan tangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *