Najib tiba di pejabat SPRM Dengan Tiga Pertuduhan Yang Bakal Di Kenakan Ke Atasnya

Datuk Seri Najib Razak sekali lagi diminta hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Difahamkan bekas perdana menteri itu akan diberi notis untuk berdepan dakwaan baru di mahkamah esok.

Beliau tiba pada pukul lima petang di ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Duta, yang terletak tidak jauh dari rumahnya di Langgak Duta.

Beliau dijangka dihadapkan dengan tiga pertuduhan bawah Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Setakat ini, belum pasti sama ada beliau akan turut ditahan reman semalaman sebelum dibawa ke mahkamah – yang menjadi amalan biasa SPRM.

“Tidak akan ada tangkapan kecuali mendapat arahan selanjutnya lewat petang nanti,” kata sumber SPRM.

Najib dijangka dituduh di mahkamah lagi esok

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang berdepan tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, dijangka didakwa di mahkamah esok atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Menurut sumber daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Najib akan dibawa ke Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, untuk menghadapi tiga lagi pertuduhanmembabitkan dana SRC mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).

“Beliau akan didakwa dengan tiga pertuduhan tambahan,” kata sumber itu.

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 4 Julai lepas, Najib, 65, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Pihak mahkamah juga telah meletakkan penghadang dan menyediakan kaunter pendaftaran bagi memudahkan media membuat liputan prosiding sebutan kes dan pendakwaan terhadap Najib.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *