Politik Ayah Anak Bukan Keluarga Anwar Saja – AMANAH

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohd Anuar Tahir membidas dakwaan beberapa pihak bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengamalkan politik nepotisme apabila kembali ke parlimen nanti.

Mohd Anuar sebaliknya berkata, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah telah dipilih oleh rakyat sendiri dalam pilihan raya umum yang lalu dan bukannya membabitkan pihak berkepentingan.

“Kalau orang benci dia, tentu isteri dan anaknya juga tidak menang pada pilihan raya. Siapa kamu untuk persoalkan pilihan rakyat, kalau kata ini nepotisme semua ini tidak akan terpilih.

“Ini demokrasi, ada keluarga lain juga terlibat dalam politik ayah dan anak, bukan Anwar sahaja,” katanya dalam sidang media Wisma AMANAH, hari ini.

Anuar berkata demikian mengulas amaran aktivis Ambiga Sreenevasan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) supaya berhati-hati dengan amalan nepotisme melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang diadakan semata-mata bagi memberi laluan kepada Anwar untuk kembali ke Parlimen.

Tindakan Anwar bertanding di Parlimen menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak antaranya aktivis Siti Zabedah Kasim yang menggesa para pengundi di parlimen berkenaan supaya tidak mengundi Anwar serta membiarkan pembangkang memenangi PRK itu nanti.

Siti Kasim berkata, “PKR dan keluarga Anwar mesti diberi pengajaran” kerana ini kali ketiga mereka mengadakan pilihan raya untuk memberi laluan kepada pemimpin utama PKR itu.

Namun semalam Wan Azizah percaya tidak timbul isu nepotisme membabitkan keluarganya memandangkan mereka semua dipilih oleh rakyat.

Rabu lalu, PKR mengumumkan Anwar bertanding di Parlimen Port Dickson selepas kerusi itu dikosongkan oleh penyandangnya Danyal Balagopal bagi membuka laluan kepada beliau untuk kembali ke Parlimen.

Pengumuman itu turut disambut baik Anggota Parlimen (BN-Padang Rengas) Datuk Seri Nazri Aziz yang turut akan turun berkempen untuk pemimpin itu pada PRK Port Dickson nanti.

Bekas menteri pelancongan itu juga berpendapat Umno tidak akan dapat memenangi kerusi itu, maka mereka perlu membiarkan PKR menukar anggota parlimen di Port Dickson.

Mengulas perkara itu, Mohd Anuar menyambut baik sokongan Nazri terhadap Anwar.

“Jangan ada sesiapa dianiaya disebabkan kenyataannya. Nazri berhak buat kenyataan sebab dia kenal Anwar kerana pemimpin itu merupakan seniornya di Maktab Melayu Kuala Kangsar jadi pandangan itu hak dia,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *