Mengapa rakyat Kelantan tak hebat di negeri sendiri, soal Dr M

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir memuji rakyat Kelantan yang disifatkannya rajin bekerja hingga menjadi mahir dan cekap dalam bidang yang diceburi tetapi bukan di negeri sendiri.

Beliau berkata rakyat Kelantan hebat dalam bidang keusahawanan hingga mampu menjadi ahli perniagaan terkenal bukan sahaja di Kelantan tetapi seluruh Malaysia.

“Sebenarnya orang Kelantan bijak-bijak belaka, kalau kita perhatian di mana-mana negeri yang jalankan perniagaan adalah orang Kelantan. Dari segi perniagaan, saya dapati orang Kelantan lebih cekap dari orang Kedah.

“Bahkan dari orang lain pun, terutamanya wanita mereka, di Kelantan pemilik ladang yang besar adalah wanita, bukan lelaki. Di Kedah ada satu yang diusahakan, tetapi oleh orang Kelantan,” katanya dalam sesi soal jawab di Kongres Bumiputera Nasional di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir merasa hairan mengapa rakyat Kelantan tidak dapat melaksanakan apa yang mereka lakukan di negeri lain untuk negeri kelahiran mereka.

“Kenapa mereka tidak boleh buat di Kelantan itu adalah soalnya. Barangkali persekitaran tidak kena di sana, sama-samalah kita kaji persekitaran itu mengapa jadi sedemikian.

“Jadi saya tidak tahu bagaimana orang yang cekap boleh berniaga apa semua, tidak ada di Kelantan tetapi ada di tempat lain, ada sesuatu yang tidak kena di situ.

“Saya yakin kalau orang Kelantan dapat betulkan perkara ini, ini adalah sesuatu untuk mereka bangunkan kelantan lebih pesat dari tempat lain,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan Kelantan juga menghadapi masalah kewangan kerana kekurangan kutipan dari hasil cukai menyebabkan negeri itu miskin.

“Sebenarnya saya hendak minta maaf kerana berkata benar, kerajaan Kelantan tidak mampu membiayai kerajaan Kelantan, bantuan dari kerajaan pusat mesti diberikan untuk adakan kerajaan.”

 

Sumber freemalaysiatoday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *