Syed Saddiq Kena Sekolah Dengan Khairy Jamaluddin Dalam Dewa Parlimen

PARLIMEN | Pembangkang nampaknya terus memberikan saat sukar buat menteri termuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dengan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mahu “menyekolahkan” menteri belia dan sukan itu di Dewan Rakyat.

Ketika Syed Saddiq menggulung perbahasan titah diraja, Khairy mencelah untuk menyenaraikan “pelajaran” untuk Syed Saddiq.

Terdahulu, Ahmad Jazlan Yaakob (BN-Machang) juga menegur bahasa badan Syed Saddiq ketika ketua pemuda BERSATU itu menggelengkan kepala tanda tidak setuju berhubung kenyataan wakil rakyat BN itu berhubung kumpulan belia bahawa beliau “masih di sekolah ketika itu”.

Ketika menyenaraikan pelajarannya, Khairy menyangkal kenyataan yang dikeluarkan timbalan Syed Saddiq, Steven Sim berhubung tindakan kementerian itu ketika pentadbiran BN, termasuk proses tender dans kandal rasuah RM100 juta – yang kemudiannya dipastikan sebagai RM38 juta.

“Sebagai kenyataan media rasmi dari timbalan menteri atau menteri, sangat penting untuk kita tepati fakta. RM100 juta (yang disebut dalam kenyataan itu) tak tepat. Apa yang tepat adalah RM38 juta – walaupun angka itu masih besar.

“(Tetapi) anda perlu pastikan apabila anda keluarkan kenyataan, ia perlu gunakan fakta yang tepat – pelajaran nombor satu.”

Khairy juga membangkitkan kenyataan yang mengatakan kerajaan BN dulu menghentikan pelan pengurusan risiko rasuah dan menjelaskan ia adalah keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pelajaran nombor dua – jangan membuat insinuasi (kenyataan tersirat) yang tidak tepat,” katanya.

Beliau juga mempertahankan amalan rundingan terus dan tender terhad ketika menjadi menteri belia dan sukan, dengan mengatakan ia mendapat kelulusan kementerian kewangan dan melalui proses penilaian.

Beliau berkata tender terbuka tidak sentiasa memberikan keputusan terbaik, memberikan contoh sebuah syarikat yang menawarkan sistem teknologi maklumatnya untuk Sukan SEA tahun lalu dengan harga RM34 juta lebih murah daripada pembida lain tetapi tidak mempunyai prestasi yang baik.

“Saya sokong inisiatif anda untuk menambahbaik kementerian tetapi anda tidak perlu melakukannya sehingga memburukkan orang lain, terutama dengan fakta yang tidak betul,” katanya.

Menjawab celahan Khairy, Syed Sadiq menyenaraikan beberapa tender yang akhirnya jatuh ke tangan pemimpin Umno.

Sebagai contoh, katanya, tiga kontrak berjumlah RM40 juta bagi perolehan dan penaiktarafan kelengkapan latihan kepada sebuah syarikat.

“Apabila kita membuat due dilligence, kita dapati ia (syarikat) bawah allahyarham ketua Umno Jelebu,” katanya.

Satu lagi contoh adalah pembinaan Pusat Kecemerlangan Badminton Negara.

“Saya sendiri ke sana dan saya tanya, (tetapi) pihak di sana mula-mula tak mahu maklumkan. Saya tahu apabila mereka tak nak maklumkan pasti ada masalah.

Syed Saddiq berkata projek tersebut diberi melalui tender terhad kepada syarikat milik ketua pemuda Umno Bandar Tun Razak.

Beliau juga membangkitkan projek Kompleks Sukan Rembau di Negeri Sembilan yang pembinannya tidak mengikut jadual. Beliau berkata kontrak projek itu diberikan kepada bekas exco sukan kerajaan Negeri Sembilan.

Masalah sistemik

Syed Saddiq bagaimanapun berkata ia bukan masalah Khairy semata-mata tetapi juga tindakan kementerian kewangan yang meluluskan tender terhad dan rundingan terus seperti yang disebut Khairy.

Beliau berkata kontrak RM40 juta yang diberi kepada syarikat allahyarham ketua Umno Jelebu ditolak kementerian belia dan sukan tetapi diluluskan kementerian kewangan.

“Proses perlu ditambaik baik dari atas hingga ke bawah,” katanya lagi.

Khairy kemudian menegaskan masalah yang dialami bersifat sistemik.

“Saya ingin tegaskan jawapan menteri adalah betul. Setiap keputusan untuk tukar kepada tender terhad perlu diluluskan kementerian kewangan. Inilah isu utamanya.

“Jadi jika ingin buat perubahan dalam proses perolehan kerajaan, ia tidak terhad kepada kementerian belia dan sukan sahaja. Ini adalah isu sistemik,” katanya.

SUMBER : Malaysia KINI

Video Penuh

Sumber buletin netizen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *