Di Kala Semua Orang Berat Melakukan Fardu Kifayah Ini, Lelaki Ini Sanggup Lakukan Dengan Percuma

VIDEO PENUH DI BAWAH:

PETALING JAYA: Pemuda ini bukan siapa-siapa, malahan tiada pertalian darah dengan si mati, namun kesungguhannya untuk menguruskan jenazah bermula daripada memandikan hingga ke liang lahad dilakukan secara percuma telah menyentuh hati netizen.

Mohd Zulhairi Zainol berkata, dia pernah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang tidak dikenalinya, merayu untuk membantu menguruskan jenazah seorang rakan yang meninggal dunia di Ipoh, Perak.

“Pernah satu kes di Ipoh, ada orang minta tolong sangat… sebab dia tiada duit.

“Saya minta waris tunggu sehingga saya sampai dalam tempoh tiga jam kerana memandu dari Kuala Lumpur. Kemudian saya uruskan semuanya termasuk mandikan, kafan dan bawa jenazah ke kubur,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu.

Mohd Zulhairi mula menawarkan perkhidmatan ini sejak lebih dua tahun lalu.

Kata pemuda berusia 33 tahun itu, dia mula menawarkan perkhidmatan van jenazah secara percuma di seluruh Semenanjung kepada mereka yang memerlukan sejak lebih dua tahun lalu.

Pada awalnya, lelaki yang berasal dari Bangi, Selangor itu mula membantu golongan asnaf yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah dengan menyediakan barangan keperluan dapur kepada 30 hingga 40 keluarga pada setiap awal bulan.

Tidak lama kemudian, Mohd Zulhairi menawarkan perkhidmatan penghantaran jenazah kerana ingin membantu golongan tidak berkemampuan.

“Saya bukan NGO (badan bukan kerajaan), ini adalah perkhidmatan persendirian. Aset (kenderaan) yang dibeli adalah sumbangan daripada kawan-kawan.

“Dua hari lepas, kami baru dapat beli Toyota Alphard terpakai berharga RM60,000 untuk bawa orang pergi hospital pula,” katanya yang turut memiliki dua van jenazah.

Kata bapa kepada tiga cahaya mata itu, dia berpandangan penggunaan van jenazah untuk menghantar orang sakit adalah tidak sesuai.

Toyota Alphard ini dibeli hasil daripada sumbangan orang ramai.

Maka, Mohd Zulhairi dan rakan-rakannya mengutip derma untuk membeli MPV terpakai tersebut.

Katanya, dia mengendalikan beberapa kumpulan WhatsApp yang disertai hampir 400 ahli yang sanggup memberikan sumbangan secara bulanan bagi membantunya menguruskan perkhidmatan tersebut.

Wang yang terkumpul akan diagihkan kepada golongan asnaf dan sebagai kos untuk menguruskan jenazah.

Selain menawarkan perkhidmatan itu sepenuh masa, Mohd Zulhairi turut menjadi pemandu persendirian atau berkhidmat sebagai ‘runner’ premium bagi golongan hartawan.

Bagi mereka yang ingin menyampaikan sumbangan, boleh menghubungi Mohd Zulhairi secara terus di talian 012-249 3378 atau menerusi akaun Facebook Mohd Zulhairi Zainol.

VIDEO :

SUMBER

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *